Setiap
orang yang waras pasti sentiasa memiliki dua perasaan berbeza dalam hatinya
iaitu bahagia atau tertekan. Hakikatnya manusia dapat mengawal perasaan yang
terbuku di hati dengan strategi reda dan berfikir positif dalam apa juga
keadaan dialami.
Perancangan
dan pelan tindakan menjadi agenda yang menghiasi hari orang berjaya. Kegagalan
masa lalu dijadikan pengajaran, begitu juga bencana dan musibah yang menimpa
menjadi api pembakar semangat untuk lebih cekal dan ghairah menghadapi
kehidupan yang semakin mencabar.
Sebenarnya berfikir dan bertindak
secara bijak untuk berjaya lebih mudah, berbanding merancang untuk berjaya
tetapi melalui cara yang salah.
Mereka yang memilih berjaya atau
mendapat apa yang dihajati secara salah perlu merancang sesuatu yang sukar dan
tidak disukai oleh pesaing lain. Mereka dicemuh dan dibenci oleh orang lain
dengan apa yang dilakukan.
Contohnya, remaja yang malas tetapi
ingin dipuji terpaksa melakukan kerja membodek, mengapu dan seumpamanya.
Lakonan berlagak rajin dan baik dilakukan di hadapan orang, sedangkan sifat
sebaliknya dilakukan pada masa lain.
Apa yang dilakukan itu menimbulkan
konflik dalam diri dan mewujudkan keadaan sukar apa terpaksa melakukan secara
terpaksa. Mereka mengamalkan konsep ‘nak jadi malas mesti kreatif’.
Mengapa mesti kreatif kepada
perkara buruk seperti malas, menipu dan sebagainya? Adalah lebih baik kita
kreatif untuk melakukan kebaikan. Perkara baik bukan saja menyukakan orang
lain, tetapi sebenarnya lebih penting lagi diri kita sendiri merasa puas dan
bahagia.
Kita
boleh melakukan perkara baik dengan selesa dan tidak perlu takut kepada sesiapa
untuk melakukannya. Kalaupun ada sedikit halangan mungkin timbul daripada
pesaing atau mereka yang ada sifat dengki. Tetapi keadaan ini tidak memberi
banyak tekanan.
Jika wujud persaingan, jadikan ia
sebagai motivasi untuk melakukan lebih baik. Sesuatu yang bertujuan untuk
kebaikan sebenarnya untuk dikongsi bersama orang lain. Jadi, sesiapa pun yang
berjaya melakukan perkara baik itu adalah mewakili semua pihak yang turut
berusaha ke arah itu.
Jadilah manusia yang menggunakan
pancaindera yang diberikan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik. Jika tidak, taraf
manusia lebih hina berbanding haiwan.
Allah
SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami jadikan neraka jahanam
kebanyakannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak
dipergunakan bagi memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi)
tidak dipergunakan bagi melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai
telinga (tetapi) tidak dipergunakan bagi mendengar (ayat Allah). Mereka itu
seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang
yang lalai.” (Surah al-Araf, ayat 179).
No comments:
Post a Comment