Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM)
adalah sebuah badan sukarela yang bertaraf antarabangsa. Namun, PBSMM
tidak 'badan bukan kerajaan' (non-governmental organisation - NGO), kerana pada
hakikat sebenarnya ia adalah 'badan penyokong kerajaan' (auxilliary to the
government) yang ditubuh di bawah Akta Parlimen No 47/65 (Pindaan 540).
Logo Bulan Sabit Merah berwarna merah yang
berlatarbelakangkan tanah putih (red crescent on a whith background) adalah
satu lambang yang membawa erti 'pengenalan dan perlindungan'.
Justeru itu, terutama pada masa peperangan,
darurat, kecemasan atau bencana, kemunculan lambang bulan sabit merah amat-amat
ditunggu-tunggu kerana ia membawa harapan kepada mereka yang malang dan
memerlukan bantuan.
Mereka mengharapkan mendapat pertolongan,
perlindungan dan bantuan peri kemanusiaan.
Maka, itulah yang mereka dapat, biarpun
mungkin tidak sepenuhnya. Sedikit itu lebih baik daripada tidak mendapat
langsung, kerana dengan sedikit itu mungkin dapat menyelamatkan nyawa dan
meringankan kesengsaaan yang ditanggung.
Sesungguhnya, setiap ahli sentiasa disemai
dengan ingatan akan tujuan murni perkhidmatan kemanusiaan persatuan yang perlu
didukung bersama, di samping sentiasa bersedia membantu dan memberi harapan
hidup yang lebih baik dan selesa kepada mangsa, Insyaalah.
Bantuan yang dihulurkan melepasi batasan
sempadan agama, bangsa, kepercayaan, fahaman politik, negara dan geografi. Ini
selaras penciptaan manusia.
Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya
Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan; dan
menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal mengenali
antara satu sama lain. Yang lebih mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah
yang paling takwa.” (Surah al-Hujurat, ayat 13).
Firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8
yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku
adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi
orang yang berlaku adil.”
PBSMM sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang
ingin menyertai dalam kerja-kerja sukarela. Mereka akan diberi latihan yang selayaknya
untuk membolehkan memberi khidmat kepada masyarakat, terutama dalam pertolongan
cemas dan kerja-kerja membantu mangsa.
Kepada yang tidak berkesempatan menyumbangkan
tenaga, mereka juga dialu-alukan untuk menyumbang dari segi wang, peralatan dan
kemudahan yang dapat membantu melancarkan aktiviti PBSMM.
Sama ada ingin menjadi ahli atau memberi sumbangan,
anda boleh berkunjung ke pejabat PBSMM yang terdapat di seluruh negara. Sumbangan
anda amat-amat dialu-alukan.
No comments:
Post a Comment