Thursday 20 February 2020

LIHAT APA BELUM DISELESAIKAN

Jangan lihat apa yang telah kamu usahakan, tapi lihatlah apa yang belum kamu selesaikan!! Ya... yang telah dilakukan adalah sejarah. Apa yang penting adalah masa hadapan. Kita perlu terus melangkah semakin ke hadapan dan lebih baik.

Usaha untuk berubah kepada kebaikan memerlukan pengorbanan dan bukan sekadar angan-angan. Sekiranya ingin berubah tidak perlu menanti masa tua. Individu yang benar-benar ikhlas untuk berubah tidak menangguhkan masa. 

Tambahan, usia kita semakin menunju penghujung, tidak tahu berapa lama lagi peluang untuk terus menyedut udara nyaman di dunia ini. Berhati-hatilah, kita tidak mengetahui berapakah lagi usia yang berbaki.         

Sesungguhnya nafsu tidak mengenal usia. Kekuatan nafsu tidak berkurang dengan bertambahnya usia seperti berkurangnya tenaga, daya penglihatan dan daya pendengaran. Nafsu masih ingin kepada keduniaan biarpun ketika hampir menemui maut. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Anak Adam boleh tua, tetapi akan tetap tinggal bersamanya dua perkara iaitu kemahuan keras (nafsu) dan panjang angan-angan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Untuk mendidik nafsu perlu dilakukan secara berterusan. Rasulullah menjelaskan dorongan nafsu adalah sebahagian daripada penyakit yang menyebabkan banyak berlaku kerosakan dan penderhakaan. 

Penyakit nafsu tidak dapat disembuhkan melainkan melalui peningkat keimanan dan ketakwaan. Ini perlu dilakukan dengan asuhan iman yang dilakukan secara berterusan bermula sejak usia kanak-kanak, disuburkan ketika alam remaja dan diteruskan ketika meniti alam kedewasaan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya umatku akan ditimpa oleh penyakit umat-umat dahulu; sombong, suka bermegah-megah, mengumpulkan kekayaan (dengan cara yang tidak sah), berlumba-lumba merebut kemewahan dunia, pulau memulau, saling berdengki hingga mengakibatkan berlakunya penderhakaan dan keadaan kacau bilau.” (Hadis riwayat Hakim).

Bagi memastikan kehidupan sentiasa dalam keredaan Allah, diri perlulah sentiasa dikuasai oleh akal dan bukannya nafsu. Akal akan menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menolak daripada melakukan kejahatan. 

Dengan kekuatan akal yang dikuasai perasaan keimanan akan sentiasa menetapkan tujuan hidupnya untuk menemui Allah dengan keadaan yang sempurna amalan kehidupan di dunia ini. Atas matlamat itu kehidupan yang dilalui penuh bermakna dan tidak tergelincir daripada landasan keimanan.

Berubah meninggalkan kepalsuan dan dosa adalah sebenar-benar tanda keimanan. Hakikatnya tiada untungnya bagi sesiapa yang merebut dunia dan meninggalkan akhirat kerana akhirnya tetap akan merasakan kerugian yang tidak dapat ditebus lagi apabila diri sudah berada pada hari pembalasan.

Renungkan Firman-Nya yang bermaksud: “Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit.” (Surah at-Taubah, ayat 38).

Sesiapa juga hidup di dunia ini tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sebab itu Allah membenarkan taubat sebagai pembersih diri. Jika diri tersalah memilih jalan dosa, bersegeralah berubah memilih jalan yang sebenarnya. 

Mari kita sama-sama berubah ke arah kebaikan. Tidak kiralah berapa banyak perubahan itu dicapai, asalkan perkara itu dilakukan secara berterusan. Islam menganjurkan agar mengamalkan sikap istiqamah dalam melakukan sesuatu kebaikan. 

No comments:

Post a Comment