Saturday 21 July 2018

PERKASA AKHLAK REMAJA MEMBINA GENERASI CEMERLANG

Krisis akhlak di kalangan remaja dan pelajar semakin serius. Keadaan ini perlu dipandang serius. Sekiranya tidak diatasi secara berkesan, bakal mengundang masalah lebih besar kepada masyarakat dan negara.

Justeru, masalah keruntuhan akhlak remaja dan pelajar perlu diberi perhatian serius dan agenda penting sepanjang masa untuk mengatasinya. Mereka bakal mengambil alih teraju pemerintahan negara.   

Semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengatasi senarai kesalahan pelajar yang  semakin panjang. Lebih membimbangkan sekarang ini tahap kesalahan akhlak remaja sekarang sudah setaraf kesalahan jenayah orang dewasa. 

Langkah memperkasakan didikan akhlak dan pekerti amat penting. Kekuatan diri sebenarnya bergantung kepada akhlak dan pekerti. Lemahnya nilai ini menyebabkan kemusnahan hidup seseorang dan malapetaka kepada masyarakat keseluruhannya. 

Akhlak atau pekerti adalah kekuatan diri. Diri seseorang dinilai berdasarkan kepada akhlak yang menghiasi dan memperkuatkan jati dirinya. Sekiranya akhlak yang diamalkan baik, maka keseluruhan hidup menjadi baik dan begitulah sebaliknya.

Sesungguhnya pembentukan akhlak memerlukan masa yang berterusan. Proses itu melalui didikan, penghayatan dan amalan sepanjang hayat yang lahir dari asuahan ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Budaya atau cara hidup masyarakat mempengaruhi nilai diri seseorang. Untuk membentuk sebuah negara yang berjaya dan bertamadun, terlebih dahulu perlu dibentuk akhlak mulia dalam diri setiap rakyat.  Ini perlu dijadikan matlamat utama dalam agenda pembangunan negara. 

Negara maju tidak akan kekal lama jika akhlak rakyatnya rosak. Kejayaan dan kemakmuran negara akan runtuh bersama-sama runtuhnya akhlak rakyat. Kekuatan sesebuah negara bergantung kepada kekuatan, keterampilan dan kemuliaan akhlak rakyatnya.    

Golongan remaja dan pelajar didapati lebih ghairah untuk melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan kesannya asalkan mendatangkan kepuasan dan keuntungan untuk mereka.   

Oleh itu amat penting golongan dewasa memperlihatkan contoh ikutan yang baik kepada golongan remaja dan pelajar. Peranan ini perlu didahului ibu bapa sebagai orang terdekat dengan remaja.   

Ibu bapa wajib menunjukkan tauladan yang baik dan menghindarkan melakukan perbuatan buruk untuk dicontohi anak-anak. Melakukan kebaikan dituntut untuk kebaikan diri sendiri dan menjadi contoh kepada anak.

Kegagalan ibu bapa mempamerkan cara hidup yang baik samalah seperti 'mendidik’  anak melakukan akhlak buruk. Bahkan ada ibu bapa tidak waras apabila mengajar anak melakukan perbuatan yang tidak berakhlak.

Malang sekali tingkah laku ibu bapa yang sering bertentangan dengan akhlak baik. Mereka memperlihatkan sikap kasar, mencarut, tidak menghormati orang lebih tua, malas, tidak bertimbang rasa dan biadab.

Apa yang dilakukan orang dewasa mudah menjadi ikutan golongan pelajar. Pelajar mampu meniru kerana dari segi fizikal dan kebolehan lain sudah setanding orang dewasa. 

Sesiapa tidak berakhlak berdepan kehidupan penuh kesukaran dan terancam. Nilai kenikmatan dan kesempurnan hidup terletak pada akhlak yang sempurna. Sekiranya akhlak rosak, maka runtuhlah nilai kehidupan manusia.

Kehidupan tanpa akhlak akan melatakkan taraf sama seperti kedudukan sebagai haiwan. Sesungguhnya kemuliaan manusia kerana akhlaknya. Akhlak adalah akal budi yang menjadi ukuran sebenar kualiti kehidupan manusia.

Oleh itu, Islam amat mementingkan pembentukan akhlak mulia manusia. Ketika syariat Islam mula disebarkan oleh Rasulullah, perkara utama dilakukan ialah memperbaiki akhlak masyarakat Arab yang ketika itu berada pada tahap paling buruk.

Rasulullah terlebih dahulu menunjukkan contoh yang baik untuk membimbing manusia ke arah akhlak mulia. Masyarakat di kota Makkah amat mengkagumi peribadi Rasulullah dan dipanggil al-amin.

Apa yang ditunjukkan Rasulullah satu contoh kepada ibu bapa dan masyarakat untuk mendidik golongan lebih muda. Ibu bapa dan orang dewasa adalah contoh ikutan pelajar. Tanpa contoh dan ajaran, pelajar akan terdedah dengan pengaruh lain yang lebih banyak menyebabkan keburukan.

Cara mendidik bukan dengan secara memberitahu atau menyatakan teorinya saja. Mesti ada contoh untuk diikuti. Pelajar lebih mudah mengikuti apa yang dilakukan orang dewasa, berbanding mendengar saja itu baik dan ini buruk.

Sesungguhnya, apa dilakukan ibu bapa lebih banyak mempengaruhi pembentukan akhlak anak-anak berbanding apa yang dicakapkan. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa menunjukkan tauladan yang baik agar mudah diikuti.

Didikan akhlak adalah harta pusaka paling berharga daripada ibu bapa kepada anak-anak. Anak-anak yang terdidik akhlaknya dapat menggunakan harta paling berharga itu sepanjang hidupnya tanpa berkurang sedikit.

Sebaliknya, ibu bapa yang meninggalkan harta benda yang banyak kepada anak-anak, tetapi miskin akhlaknya akan melalui hidup yang sukar. Jumlah harta semakin digunakan semakin berkurangan terutama sekali jika tidak diuruskan dengan baik. 

Anak yang runtuh moral menggunakan harta kekayaan milik ibu bapa dengan melakukan perbuatan yang akan merosakkan diri sendiri. Sikap boros, bongkak dan membelanjakan kekayaan ke arah kemusnahan adalah sikap orang yang rosak akhlaknya.

Sebab itu, ibu bapa yang baik lebih mementingkan memberi kasih sayang, mendidik pekerti mulia dan memberi perhatian kepada anak sebagai bekalan meneruskan kehidupan yang penuh pancaroba ini. 

No comments:

Post a Comment